Thursday, July 29, 2010

Abdul Razak Arkitek Pembagunan..

Suatu petikan darik Berita harian bertarikh :

2010/07/29

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, menyifatkan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein sebagai seorang pemimpin yang mempunyai visi yang jauh dan membawa perubahan besar terhadap semua aspek pembangunan negara.

Abdullah yang pernah berkhidmat sebagai pegawai kerajaan di bawah
pemerintahan Abdul Razak berkata, mantan Perdana Menteri kedua itu boleh juga digelar sebagai Bapa Reformasi kerana perubahan yang dibawa terutama dalam meningkatkan infrastruktur dan kemajuan di kawasan luar bandar selain merapatkan jurang perbezaan ekonomi antara kaum. Beliau berkata, legasi yang ditinggalkannya tetap segar dan relevan kerana merintis jalan membangunkan rakyat pelbagai kaum, sesuai dengan gelaran beliau sebagai Bapa Pembangunan.

Ketika pentadbiran Abdul Razak, pembangunan adalah agenda utamanya ter-utama dalam membangunkan kawasan luar bandar. Jadi tidak hairanlah di bawah kepemimpinan beliau, pelbagai agensi ditubuhkan termasuk FELDA, FELCRA, Pertubuhan Peladang dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi membantu golongan luar bandar bagi mengimbangi ekonomi antara penduduk luar bandar dan bandar dan agensi ini masih lagi diteruskan sehingga kini, katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Pengkisahan 1 dalam program khas Tun Abdul Razak, Bapa Pembangunan Suatu Pengkisahan anjuran Orlaith Inc Sdn Bhd dan Yayasan Perikatan Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, semalam.

Selain Abdullah, panel dalam sesi itu terdiri daripada Tan Sri Michael Chen, Tan Sri GK Rama Iyer dan Tan Sri Arshad Ayub dan Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid sebagai moderator.
Abdullah berkata, Abdul Razak adalah arkitek pembangunan Malaysia kerana mewujudkan pelbagai asas dalam kemajuan yang dikecapi selama ini terutama dalam merapatkan jurang ekonomi antara kaum serta meningkatkan pembangunan luar bandar.

Sementara itu, bekas Yang Dipertua Dewan Negara yang juga veteran MCA, Tan Sri Michael Chen, berkata Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diwujudkan di bawah pentadbiran Allahyarham sering disalah tafsir pihak tertentu sedangkan tujuan kewujudannya untuk mengimbangi taburan kekayaan negara secara saksama.

Katanya, dakwaan kononnya DEB tidak adil kepada bukan Bumiputera adalah tidak benar sebaliknya ia diwujudkan untuk memberi keseimbangan terhadap kekayaan ketika itu hasil daripada pemerintahan penjajah.

DEB adalah satu dasar yang adil kepada semua. Ia bukan satu perlindungan terhadap sesuatu kaum tetapi ketika itu ia adalah memperbetulkan semula ketidakseimbangan dalam taburan kekayaan negara dan kebetulan masyarakat yang memerlukan ketika itu adalah orang Melayu dan Bumiputera.

Ketidakseimbangan ini akan menyebabkan masalah dan sebab itu berlakunya tragedi 13 Mei 1969. Beliau tidak mahu perkara ini berulang dan sebab itulah beliau mahu perbezaan ini ditangani, katanya.

Beliau berkata, Abdul Razak mengambil tanggungjawab memulihkan semangat dan keyakinan bangsa yang pudar akibat tragedi 13 Mei dengan DEB.